1. Apakah kemudahan Pembiayaan Dana Niaga?

    Pembiayaan Dana Niaga adalah pembiayaan perniagaanbagi memenuhi keperluan kewangan syarikat permilikan tunggal atau perkongsian untuk dijadikan modal tambahan dalam perniagaan.

  2. Apakah konsep syariah yang diguna pakai?

    1. Pembiayaan tanpa faedah Konsep Syariah yang diguna pakai adalah Qardhul Hassan, di mana peminjam tidak dikenakan sebarang faedah bagi pembayaran semula pembiayaan ini.

    2. Pembiayaan dengan keuntungan

    Konsep Syariah yang diguna pakai adalah kontrak hybrid yang menggunapakai konsep-konsep berikut:

    • Tawarruq : Pembelian komoditi berdasarkan bayaran tangguhan. Komoditi kemudiannya dijual oleh pelanggan secara tunai kepada pihak selain daripada penjual komoditi yang asal.
    • Murabahah : Kontrak jualan komoditi di antara penjual dan pelanggan berdasarkan pokok dan keuntungan penjual dan dimana keuntungan penjual didedahkan kepada pelanggan semasa kontrak dibuat. Pembayaran harga jualan adalah dilakukan secara bayaran ansuran;
    • Wakalah : Kontrak lantikan sebagai agen dimana seseorang melantik seseorang yang lain untuk bertindak bagi pihak dirinya.

  3. Apakah yang saya perolehi daripada produk ini?

    1. Pembiayaan tanpa faedah

    Pinjaman dalam bentuk wang dengan jumlah amaun pembiayaan sebelum caj (ujrah) dan sekuriti deposit :

    • RM 3,000 ( bagi permohonan pertama kali);
    • RM 5,000 ( bagi peminjam RM 3,000 yang telah selesai bayar); atau
    • RM 7,000 ( bagi peminjam RM5,000 yang telah selesai bayar).

    Pinjaman perlulah dibayar semula dalam tempoh :
    • 24 bulan bagi peminjam RM 3,000;
    • 25 bulan bagi peminjam RM 5,000; atau
    • 40 bulan bagi peminjam RM 7,000.

    2. Pembiayaan dengan keuntungan

    Pinjaman dalam bentuk wang dengan jumlah amaun pembiayaan sebelum caj (ujrah) dan sekuriti deposit berjumlah di antara RM10,000 hingga RM20,000.

  4. Apakah tanggungjawab saya?

    1. Membayar ansuran bulanan secara arahan tetap (auto debit) dari akaun bank setiap 15hb setiap bulan sepanjang tempoh pinjaman. Jumlah ansuran bulanan adalah seperti berikut:

    • RM125 sebulan bagi pinjaman RM 3,000
    • RM200 sebulan bagi pinjaman RM 5,000
    • RM175 sebulan bagi pinjaman RM 7,000
    • Amaun lain yang ditetapka oleh WANCorp bagi pinjaman dengan keuntungan

    2. Membayar Yuran Pengurusan Bulanan sebanyak RM20 sebulan bermula tahun ke-2 pinjaman bagi menampung kos pemantauan bulanan, termasuk kos peringatan (SMS, surat), siasatan dan sistem.

    3. Menggunakan pinjaman tersebut bagi tujuan perniagaan yang diluluskan sahaja.

    4. Memastikan perniagaan yang dijalankan adalah halal dan sah berlandaskan undang-undang Malaysia dan Shariah.

    5. Menghantar Laporan Aliran Tunai dan Penyata Akaun Bank pada setiap 15hb setiap bulan sepanjang tempoh pinjaman tersebut.

    6. Membenarkan WANCorp untuk menjalankan aktiviti pemantauan perniagaan peminjam termasuk memasuki premis dan menyemak dokumen-dokumen perniagaan peminjam; dan

    7. Memenuhi syarat-syarat sepertimana yang dinyatakan di dalam Surat Tawaran.

  5. Apakah jenis-jenis yuran dan caj yang perlu saya bayar?

    1. Caj yang ditolak terus daripada jumlah pinjaman:

    Yuran proses RM 10
    Takaful perlindungan diri *mengikut umur dan amaun peminjam
    Duti Setem *mengikut amaun peminjam
    Carian kebankrapan (CTOS) RM 10

  6. Adakah Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANcorp) memerlukan bayaran pendahuluan?

    Anda perlu membayar Deposit Sekuriti yang bernilai satu (1) bulan bayaran ansuran kepada WANCorp. Deposit Sekuriti ini digunakan bagi membayar mana-mana ansuran bulanan yang tertunggak. Deposit Sekuriti akan dikembalikan kepada pemohon apabila tempoh pembiayaan berakhir dengan syarat anda telah menjelaskan keseluruhan jumlah bayaran tersebut beserta denda, sekiranya ada.

  7. Bagaimana sekiranya saya gagal memenuhi tanggungjawab saya?

    1. Gantirugi pembayaran lewat

    Sekiranya peminjam gagal untuk membayar mana-mana bayaran ansuran bulanan dalam tempoh yang ditetapkan, peminjam akan dikenakan bayaran gantirugi (”ta’widh”) sebagaimana yang dinyatakan berikut:-

    • Sepanjang tempoh pembiayaan:
      Kadar 1% ke atas jumlah yang tertunggak. Bayaran denda akan dikira pada 26hb setiap bulan sehingga ke tarikh bayaran diterima oleh WANCorp
    • Selepas tempoh pembiayaan:
      Kadar 1% dikira ke atas jumlah hutang yang tertunggak.

    2. Sekiranya berlaku kemungkiran

    Keseluruhan pinjaman hendaklah dibayar apabila dituntut oleh WANCorp apabila berlaku keadaan-keadaan berikut:-
    • pada pandangan WANCorp, peminjam tidak menjalankan perniagaan dengan aktif dan/atau berlandaskan Shariah dan/atau undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia;
    • sekiranya peminjam (sekiranya pemilik tunggal) atau mana-mana rakan kongsi peminjam bankrup atau terdapat petisyen untuk membankrupkan peminjam;
    • sekiranya peminjam (sekiranya pemilik tunggal) atau mana-mana rakan kongsi peminjam meninggal dunia atau mengalami kecacatan kekal; atau
    • peminjam gagal memenuhi terma-terma dan syarat-syarat yang dikenakan oleh WANCorp dari masa ke semasa.


    Sekiranya berlaku kemungkiran pembayaran, WANCorp boleh melalui notis bertulis kepada peminjam, meminta pembayaran segera terhadap jumlah tertunggak sama ada daripada peminjam dan/atau penjamin.

    Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya peminjam gagal untuk memberi maklum balas terhadap notis peringatan.

  8. Bagaimana sekiranya saya menyelesaikan pembiayaan sebelum tempoh matang?

    Sekiranya anda membuat bayaran mengikut Jadual Pembayaran Pinjaman sepanjang tempoh pinjaman atau berlaku penyelesaian awal pinjaman tersebut, WANCorp boleh memberikan rebat (”ibra’”) kepada anda pada suatu jumlah yang difikirkan sesuai oleh WANCorp.

  9. Adakah saya memerlukan perlindungan Takaful?

    Anda hendaklah mengambil perlindungan Takaful dengan syarikat Takaful yang ditetapkan oleh WANCorp. Anda hendaklah menyerahkan semua kepentingan yang terdapat di dalam polisi Takaful kepada WANCorp sehingga pinjaman tersebut diselesaikan sepenuhnya.

  10. Adakah saya memerlukan penjamin atau cagaran?

    Seorang penjamin diperlukan bagi pembiayaan ini. Penjamin perlu bersetuju dan mengakujanji untuk menjamin kesemua wang yang dituntut oleh WANCorp bagi menyelesaikan keberhutangan peminjam.

    Syarat-syarat kelayakkan menjadi Penjamin:

    • warganegara Malaysia;
    • berumur 18 hingga 55 tahun;
    • berakal / waras dan sihat tubuh badan;
    • Islam;
    • tidak bankrup atau terdapat petisyen untuk membanrapkan Penjamin; dan
    • Gaji bulanan sekurang-kurangnya sama nilai dengan jumlah pinjaman.


    Sekiranya penjamin:-
    • bankrup atau terdapat petisyen untuk membankrupkan penjamin;
    • meninggal dunia atau mengalami kecacatan kekal, maka WANCorp berhak untuk meminta peminjam mendapatkan penjamin yang baru bagi menjamin pinjaman tersebut. Kegagalan peminjam berbuat sedemikian boleh menjadi keingkaran peminjam terhadap terma-terma dan syarat-syarat pinjaman tersebut

    Jika anda merupakan pemohon kali pertama (pembiayaan RM3,000) dan gagal mendapatkan penjamin, anda akan dimasukkan ke dalam satu Kumpulan Rakan Niaga yang akan ditentukan oleh WANCorp.

  11. Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya terdapat perubahan kepada butiran perhubungan saya?

    Adalah penting bagi anda untuk memaklumkan kami dengan segera sebarang perubahan kepada butiran perhubungan bagi memastikan semua urusan surat menyurat sampai kepada anda dalam tempoh yang ditetapkan.

  12. Dimanakah boleh saya dapatkan bantuan dan cara penyelesaian?

    Sekiranya anda menghadapi kesulitan dalam membuat pembayaran ansuran bulanan, anda perlu menghubungi kami dengan segera untuk membincangkan pilihan pembayaran.

    Anda boleh hubungi kami di:
    WAQAF AN-NUR CORPORATION BERHAD.
    Tingkat 10, Menara KOMTAR,
    Johor Bahru City Centre,
    80000 Johor Bahru, Johor
    No. Telefon : 019-7522691
    Laman Web Rasmi : www.wancorp.com.my

  13. Di mana saya boleh dapatkan maklumat lanjut?

    Sekiranya anda memerlukan maklumat tambahan berkenaan pembiayaan Dana Niaga-i, sila hubungi talian 019-7522691 atau layari laman web www.wancorp.com.my .

  14. Berapa lamakah proses diperlukan untuk mendapat pembiayaan?

    Pembayaran pembiayaan anda akan diuruskan dalam tempoh sebulan daripada tarikh penerimaan surat tawaran.